Dr Riduan Mohamad Nor

PAS DAN PERJUANGAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DALAM NEGARA INI

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

PAS telah menyertai pilihan raya umum kali pertama yang diadakan pada 27 julai 1955 di mana PAS telah meletakkan 11 calonnya untuk bertanding. PAS dalam pilihan raya ini sebagai sebuah parti politik telah mengemukakan manifestonya kepada rakyat dalam tawaran pelajaran dan pendidikan PAS telah menawarkan:

1. Mengambil langkah supaya setiap kanak-kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuaian dengan kemajuan.
2. Pelajaran agama Islam hendaklah diberikan kepada kanak-kanak beragama Islam.
3. Berikhtiar sepaya pemerintahan dapat mengadakan sekolah-sekolah dewasa dengan beberapa segera, terutama pada bahagian pertukangan dan ekonomi.
4. Berikhtiar dan berusaha supaya sekolah-sekolah melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah negara dengan memperluaskan dan meninggikan tingkatan darjah pelajarannya bersesuaian dengan dasar negara.
5. Berikhtiar mengambil perhatian yang berat terhadap perkembangan pendidikan akhlak bagi meninggikan mutu dasar pelajaran.

PAS juga semenjak dekad 1960-an telah merespon isu-isu pendidikan di negara ini. Tokoh-tokoh PAS dalam parlimen telah bersuara dalam menangani isu-isu pendidikan di negara ini. 

Pimpinan PAS juga telah membahaskan isu-isu berkaitan dengan pendidikan dan bahasa dalam parlimen Malaysia semenjak awal 60-an lagi. Antaranya perbahasan Dato' Mohd Asri dalam Parlimen: "Saya suka memberi sedikit pandangan di sini iaitu saya rasa dalam ikhtiar hendak menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang hidup dan terpakai dalam segenap lapangan dalam negeri ini, tidaklah cukup dengan menjadikan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah sahaja, sebab sekolah rendah itu nanti bersambung kepada sekolah menengah dan akhirnya bersambung ke peringkat tinggi atau universiti. Jadi sebaik-baiknya pihak Kementerian Pelajaran mula mencuba dan mulai berfikir dari sekarang untuk membuat rancangan supaya Bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa pengantar di sekolah tinggi. kita akan dapat melihat dalam tempoh sebelum sampai pilihan raya sekali lagi, bahawa semua persekolahan mulai dari sekolah rendah hingga setinggi-tingginya dalam negeri ini telah mengunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar".

Wakil-wakil rakyat PAS termasuk Dr.Burhanuddin, ketika belum ditahan di bawa ISA, begitu aktif membincangkan persoalan dasar pelajaran. Dr. Burhanuddin mahukan kerajaan tegas dalam melaksanakan dasar pelajaran ini. Beliau amat risau dengan dasar yang masih membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris kerana tanpa usaha yang gigih Bahasa Kebangsaan tidak mungkin digunakan di sekolah-sekolahtinggi dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang. Dr. Burhanuddin al-Helmy sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dan pejuang bangsa Melayu yang sentiasa melihat kepentingan Bahasa Melayu sebagai maruah bangsa. Beliau mampu menjangkakan apa yang akan berlaku jika usaha bersungguh tidak dibuat untuk mengangkat harkat Bahasa Melayu. Pemikiran Dr. Burhanuddin jauh menjangkau ke hadapan. Sehingga tahun 1967 misalnya, jelas Bahasa Melayu masih belum menjadi bahasa rasmi sepenuhnya.

Maka dengan sebab itu PAS menuntut lagi sekali, dan berpegang kuat pada tuntutannya, bahawa bahasa tunggal dan rasmi Tanah Melayu ini ialah bahasa Melayu. Ini hendaklah disebut, bahawa Bahasa Melayu itu, hendaklah dijadikan bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan yang tunggal dalam negeri ini dari sekarang juga. Dengan adanya Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bermakna bahasa lain tidaklah ada satu kesempatan, atau kebolehan,atau kelapangan yang meletakkan mereka itu untuk dijadikan bahasa rasmi dalam pemerintahan negeri ini dan hendaklah ditegaskan, supaya jangan ada sesudah perlembagaan ini dibuat, rasa tidak puas hati di kalangan orang lain, mencuba hendak menimbulkan bahasa masing-masing seperti Bahasa India dan Bahasa Cina, hendak digunakan sebagai bahasa rasmi pula di Tanah Melayu ini. Ini hendaklah disebut oleh suruhanjaya perlembagaan Reid.

Setiap kali muktamar PAS berlangsung maka isu-isu tentang pendidikan sentiasa diperbahas oleh perwakilan parti tersebut, selain disorot dalam ucapan dasar Yang Dipertua (Presiden). Contohnya, isu Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara telah ditimbulkan lagi oleh perwakilan PAS dalam mesyurat agung tahunan PAS kali ke-9 pada 12dan 13 Februari 1961. Dalam mesyuarat agung ini usul yang diterima adalah: Bahawa Majlis Mesyuarat Agung yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan mendesak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu supaya menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah menengah mulai pada awal tahun1961.

Comments

Popular posts from this blog

Aku datang sekali lagi dengan dosa wahai Pencipta

Anak Desa “tercampak” 23 Jam di Bandaraya Dubai

Diam disaat mendengar Al-Quran